Jumaat, 29 April 2016

Cabaran Terhadap Diri Pendakwah



TERTIPU DENGAN KEDUDUKAN DAN BERSIKAP MENONJOL DIRI
          Keikhlasan bukanlah sesuatu yang mudah untuk digapai kerana ianya memerlukan satu mujahadah yang besar. Ramai yang beranggapan mereka telah melakukan sesuatu amalan itu secara ikhlas namun ia tidak semudah yang disangka  dan hanya mampu dicapai oleh mereka yang benar-benar telah berjaya meninggalkan kecintaan mereka kepada makhluk, pangkat dan kebesaran, pujian, harta, wang dan kebanggaan. Bukan mudah untuk seorang hambanya yang sentiasa bergelumang dengan dosa untuk ikhlas dalam berdakwah, berpolitik, menulis, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga.Allah berfirman di dalam Surah Az-Zumar:11 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad : Sesunguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama”.

         Penyakit suka kepada kedudukan dan bersikap menonjol diri ini menjadikan seseorang pendakwah itu tercicir dari jalan dakwah. Ia sebenarnya akan merosakkan para pendakwah dan menyebabkan amalan mereka tergantung serta menghapuskan pahala mereka seterusnya memberi akibat buruk kepada diri mereka. Sebagai contoh, terdapat golongan pendakwah yang begitu mencintai kedudukan. Beliau tidak berpuas hati terhadap susunan namanya yang berada di bawah sekali mengikut tertib susunan nama di dalam akhbar yang menyiarkan tentang rombongan rasmi yang diadakan di majlis formal. Keujuban yang timbul di dalam diri pendakwah tersebut sebenarnya telah menenggelamkan keihlasan dalam melakukan sesuatu itu hanya kerana ALLAH S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takut berlaku kepada umatku adalah menyekutukan ALLAH. Aku tidak mengatakan yang mereka menyembah matahari, bulan atau berhala, tetapi mereka membuat amalan-amalan bukan untuk ALLAH tetapi untuk keinginan nafsu yang tersembunyi.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

         Orang-orang yang bekerja dalam amal Islami dan juga du’at hendaklah menyedari bahawa orang-orang yang sombong dan bongkak adalah tidak sesuai dengan dakwah dan dengan kerja-kerja Islam. Dakwah memerlukan para da’i yang duduk bersama-sama dengam masyarakat serta berkhidmat kepada mereka. Para pendakwah perlu bersifat merendah diri, menerima nasihat dan menerima kritikan.
         Penyakit  megah dan terpedaya dengan diri sendiri ini menimpa pada du’at yang bertugas dalam bidang politik dan pendidikan (tarbiyyah) yang mana sifat tersebut kelihatan begitu  jelas sekali  di dalam kalangan ahli politik semasa. Muamalat di dalam bidang politik sekarang telah rosak disebabkan politik tertegak di atas penipuan dan sesiapa yang pandai menipu dianggap pintar dan berjaya di dalam penguasaan politik mereka. Sebaliknya, orang-orang yang menceburkan diri dalam bidang politik secara jujur, berakhlak dan mengamalkan sikap yang disuruh oleh agama (aqidah) dianggap sebagai bodoh dan gagal dalam berpolitik.

LANGKAH MENGATASI
1-MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULULLAH
        Sebagai seorang pendakwah, kita perlulah berbalik kepada sirah perjuangan yang telah tertulis di dalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad. Apabila Nabi Muhammad menyampaikan dakwah secara terbuka di Makkah, Baginda mendapat tentangan yang hebat daripada puak Quraisy yang menentang. Namun begitu, Baginda tidak terus mengalah dan terus menjalankan aktiviti dakwah sehinggalah Nabi Muhammad ditawarkan harta, pangkat dan kedudukan serta wanita. Baginda menolak sama sekali tawaran tersebut dan tetap teguh dalam menyeru manusia ke jalan yang diredhai ALLAH. Jelaslah di sini Baginda tidak termakan dengan kedudukan dan pangkat serta tidak tertipu kepada hasutan dunia. Baginda terus berpegang kepada agama Islam dan yakin akan kekuasaan ALLAH serta meneruskan perjuangan dakwah sehingga ke akhir hayat Baginda.
        Para pendakwah yang berpegang kepada sirah perjuangan Rasulullah sudah pasti akan sentiasa memperbetulkan niat mereka daripada sifat ingin menonjol diri. Mereka akan menjauhkan diri daripada pangkat dan kedudukan kerana mereka yakin bahawa pangkat dan kedudukan akan merosakkan hati mereka dan memudahkan mereka terpesong dari jalan dakwah. Kesudahannya mereka akan meninggalkan jalan dakwah dan menjadikan pangkat sebagai harta dunia mereka. Segala susah payah mereka sebelum ini akan menjadi sia-sia dan tidak mendapat keberkatan daripada ALLAH di akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan