Selasa, 26 April 2016

Mobiliti Sosial



Soalan : Bagaimanakah mobiliti sosial boleh menangani ketaksamaan sosial?
        Mobiliti sosial  merupakan suatu peluang yang telah diberikan kepada status sosial seseorang untuk menaikkan taraf diri daripada tahap yang rendah ketahap yang lebih baik. Dalam sistem yang lebih terbuka, peluang untuk mobiliti sosial adalah lebih luas, namun sekiranya sistem tertutup seperti di dalam sisitem kasta yang bercorak tradisi, mobiliti sosial jarang sekali berlaku.
          Pendidikan merupakan salah satu alat mobiliti sosial bagi menangani ketaksamaan sosial.  Tahap pendidikan merupakan faktor penting yang menentukan jenis pekerjaan yang akan dilakukan kelak. Kebiasaanya, mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi akan memperolehi lebih banyak pilihan dan peluang pekerjaan berbanding dengan mereka yang mempunyai pendidikan yang rendah. Selain itu, tahap pendidikan juga memainkan peranan dalam menentukan kadar upah kepada seseorang. Hasil pendapatan tersebut akan menjana kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.
        Selain itu,  mobiliti sosial juga tercapai melalui keadaan politik. Politik yang stabil atau sebaliknya akan mempengaruhi prestasi ekonomi masyarakat dan mobiliti sosial. Apabila politik berada dalam keadaan yang baik maka sistem ekonomi akan berkembang pesat dan tidak menggugat perjalanan masyarakat untuk terus maju sehingga meningkatkan status mereka. Namun begitu apabila politik berada dalam keadaan kucar-kacir atau negara berada dalam keadaan perang maka masyarakat tidak dapat memajukan sistem ekonomi dan menyebabkan status masyarakat menurun.
          Seterusnya, mobiliti sosial juga boleh menangani ketaksamaan sosial melalui institusi perkahwinan. Perkahwinan antara individu daripada status sosial yang rendah dengan individu daripada status sosial yang tinggi boleh mengubah status sosial individu berkenaan. Sebagai contoh, Sultan Brunei telah berkahwin dengan Azrinaz Mazhar seorang warganegara Malaysia yang berstatus rakyat biasa namun telah menaikkan status sosial beliau sehingga mengangkat namanya di dalam institusi DiRaja Kesultanan Brunei.
         Perindustrian juga merupakan faktor mobiliti sosial yang boleh menangani ketaksamaan sosial masyarakat.  Perkembangan industri akan menyebabkan bidang pekerjaan bertambah. Sebagai contoh, wujudnya pembekal bahan mentah, pengedar barang, golongan profesional dan sebagainya bagi memajukan serta meningkatkan produktiviti industri. Oleh kerana wujudnya perindustrian ini, maka masyarakat akan memiliki pendapatan yang tinggi, memiliki kuasa dan juga prestij.
        Tambahan lagi,  faktor pelaburan juga  boleh menyebabkan berlakunya mobiliti sosial seseorang secara mendadak sekiranya seseorang itu melabur dengan cara yang betul. Pelaburan saham, hartanah dan sebagainya akan meningkatkan pendapatan seseorang sekiranya pelaburan yang dibuat itu dalam landasan yang betul. Seterusnya, mereka akan memiliki pendapatan yang lumayan menerusi pelaburan yang telah mereka jalankan sehingga dapat mengubah ketaksamaan sosial terhadap diri mereka.
       Ketaksamaan sosial juga dapat ditangani sekiranya seseorang itu mempunyai kuasa. Kebiasaannya kekuasaan ini dimiliki oleh pemimpin ataupun mereka yang mempunyai kelebihan yang tertinggi di dalam kelompok masyarakat. Seseorang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan orang yang berkuasa dalam masyarakat akan mempunyai peluang yang sangat luas untuk memperbaiki kedudukan sosial mereka.
       Apabila seseorang menggunakan peluang untuk memajukan diri mereka ke arah yang lebih baik melalui mobiliti sosial sama ada melalui pelaburan, kuasa, keadaan politik, perkahwinan, perindustrian dan pendidikan maka mereka akan menerima sesuatu perubahan dalam sruktur sosial mereka. Jurang ketaksamaan sosial dalam kalangan individu dan masyarakat juga tidak akan kelihatan terlalu berbeza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan