Reliti pendakwah masa kini : Antara teori dan praktikal.
Pelbagai metod dakwah yang
berkesan boleh diaplikasikan dalam menyeru umat manusia ke jalan yang benar dan
diredahai. Pelbagai metod yang berguna perlu diaplikasikan dengan cara
berhikmah, nasihat yang baik dan berbincang dengaan cara yang lebih baik serta
dakwah melalui perbuatan. Penggunaan metod yang berkesan perlulah dilihat dalam
pelbagai situasi dan mengikut zaman dan diasosiasikan dengan kaedah yang
bersistematik.
Perkara yang ingin
dibincangkan di sini adalah cara dakwah masa kini yang digunakan oleh golongan
pendakwah. Mereka hanya menekankan cara berdakwah melalui kaedah memberi
nasihat ataupun berteori semata-mata tanpa mengaplikasikan kaedah berpraktikal
dalam berdakwah kepada masyarakat. Hal ini telah menyebabkan kaedah tersebut
menjadi tidak berkesan kepada sebahagian daripada masyarakat. Metod secara
berteori ini mungkin hanya dapat difahami oleh sebahagian daripada masyarakat
sahaja dan sebahagian yang lain perlulah diberi pemahaman secara lebih jelas
lagi melalui kaedah praktikal.
Selain itu, manusia perlu
kepada praktikal di dalam semua perkara kerana melalui praktikal manusia dapat
memahami prinsip-prinsip yang sukar untuk difahami dan sukar untuk
dipraktikkan. Kaedah berteori semata-mata sebenarnya menyekat mereka untuk
mempraktikkan apa yang diajar secara betul. Selain itu, kesan dakwah secara
berteori kebiasaanya hanya berkekalan secara sementara sahaja dan jarang
berkekalan dalam kadar yang lama. Maka, adalah wajar untuk para dai’e
melaksanakan kaedah teori dan praktikal secara sistematik. Mereka perlu
mengaplikasikan kedua-dua metod tersebut dalam berdakwah agar para mad’u dapat
melaksanakan tuntutan islam dengan berkesan.
Kita boleh lihat cara perlaksaan
dakwah daripada Nabi Muhammad, para wali, ulamak dan ilmuan-ilmuan islam yang
mana mereka berjaya melaksanakan tuntutan dakwah mereka kepada masyarakat. Saya
begitu tertarik dengan cara perlaksanaan pendakwah-pendakwah terdahulu seperti
Wali Songo yang mana mereka menggunakan kaedah fenomenologi dalam berdakwah
kepada masyarakat Jawa pada waktu itu sehinggalah mereka dapat mengislamkan
masyarakat Jawa. Penggunaan kaedah yang digunakaan oleh Wali Songo iaitu
fenomenologi ataupun menyusur masuk ke dalam masyarakat dan hidup secara
bermasyarakat dalam kalangan mereka telah menarik minat masyarakat Jawa untuk
memeluk islam.
Antara sumbangan Wali
Songo kepada masyarakat Jawa pada waktu itu dalam melaksanakan tuntutan dakwah
ialah dengan melakukan pembinaan masjid. Semasa Rasulullah menjalankan dakwah
baginda di Madinah, baginda telah membina masjid Kuba’ di antara Mekah dan
Madinah iaitu semasa dalam perjalanan ke Madinah. Inisiatif dan metod dakwah Rasulullah
ini telah diaplikasikan oleh Wali Songo. Mereka telah membina tiga buah masjid
semasa berdakwah kepada masyarakat Jawa. Pembinaan masjid ini adalah bertujuan
untuk mengembangkan ajaran islam kepada masyarakat kerana masjid menjadi
tumpuan utama untuk membincangkan hal-hal berkaitan islam, ekonomi, politik, kebudayaan,
kehidupan dan sebagainya. Selain itu, masjid merupakan tempat berkumpulnya
kesemua masyarakat untuk melakukan ibadah serta tempat untuk membincangkan
hal-hal yang berbangkit. Situasi ini telah mendorong masyarakat Jawa untuk terus
mengekalkan silaturrahim antara mereka dan mengukuhkan lagi hubungan sesama
mereka tanpa ada perbezaan darjat dan juga pangkat.
Disamping itu, Jemaah
Wali Songo juga mempunyai pengaruh politik dan ketenteraan yang begitu hebat.
Meraka berjuang mempertahankan agama islam dan berjaya menumpaskan pihak musuh.
Pernah suatu ketika ketenteraan mereka dapat mengalahkan dan menumpaskan
kerajaan Majapahit tanpa mengorbankan nyawa dan tanpa memusnahkan sistem
masyarakat pada waktu itu. Selain itu, penubuhan kerajaan Demak Bintara telah
menunjukkan bahawasanya mereka begitu aktif dalam berpolitik dan hebat dalam
bidang ketenteraan disamping melibatkan diri dalam pelbagai usaha untuk
kemajuan kerajaan pada waktu itu. Kerajaan Demak merupakan kerajaan pertama
islam pada waktu itu di Jawa.
Sumbangan mereka dalam
ekonomi juga tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyempurnakan kehidupan
masyarakat Jawa dengan dengan memelihara sawah dan kebun secara berhemat dan
teratur bersama-sama masyarakat. Selain itu, mereka telah menerapkan
nilai-nilai islam dalam mendidik masyarakat dengan mengajar untuk banyak
bersedekah kepada fakir miskin. Mereka telah memajukan bidang pertanian dengan
membina sistem pengairan dan perparitan untuk memudahkan aktiviti pertanian
masyarakat selain membina penginapan serta jalan pengangkutan yang baik. Mereka
juga aktif dalam dunia perdagangan yang mana Demak merupakan kawasan
perdagangan yang strategik untuk menambahkan hasil dalam negara.
Sebelum kedatangan islam,
masyarakat Jawa begitu menekankan sistem kasta iaitu sistem yang membezakan
taraf sesama mereka mengikut perhitungan
darjat masing-masing. Apabila pendakwah islam datang ke Jawa, sistem kasta
tersebut telah dihapuskan melalui pengaruh pendidikan islam. Mereka mendidik
masyarakat bahawa Allah menciptakan manusia itu sama dan yang membezakan mereka
hanyalah nilai amal perbuatan mereka untuk tiket ke syurga ataupun neraka.
Mereka hanya menggunakan pengarauh mereka dalam mendidik masyarakat tanpa ada
sebarang masalah. Itulah kehebatan mereka dalam menyampaikan risalah mereka
yang mana mereka menggabungkan antara teori dan praktikal dalam berdakwah
kepada masyarakat Jawa.
Seterusnya adalah dakwah
menerusi pendidikan. Pendidikan merupakan perkara yang paling utama kepada
masyarakat kerana pendidik merupakan agen sosiolisasi yang besar
tanggungjwabnya kepada pelajar. Selain itu, pendakwah Wali Songo ini telah
membina pasentren-pasentren ataupun pondok-pondok untuk kegunaan masyarakat
sebagai tempat menuntut dan menimba ilmu pengetahuan. Melalui sistem pedidikan
bereteraskan pondok dan pembelajaran yang berkesan ini maka lahirlah
pendakwah-pendakwah islam yang merantau keseluruh negara untuk berdakwah.
Dalam aspek kebudayaan dan
kesenian pula, Wali Songo telah memperkenalkan kesenian yang bereteraskan islam
dalam menghapuskan kebudayaan yang songsang dalam masyarakat Jawa dengan mengadakan
pementasan wayang. Islam tidak melarang untuk berhibur yang mana hiburan
merupakan fitrah semulajadi manusia yang begitu mencintai keindahan dan
kesenian. Salah seorang pendakwah Wali songo begitu pandai memainkan alat muzik
yang bernama bonang. Melalui metod itulah masyarakat tertarik untuk mendengar
mainan muzik tersebut dan ‘sambil menyelam minum’ air, pendakwah dapat meneruskan
dakwah mereka menerusi persembahan dan permainan alat muzik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan