WAN HANIS AISYAH, SITI NUR WAHIDAH, MARDHIAH, NOR NABILA,CUT TASRI
PENGENALAN
Kalimah Allah merupakan antara isu
sensitif yang pernah membelenggu umat Islam di negara ini yang kebanyakannya
masih tidak faham sebab dan tujuan pihak tertentu mahu menterjemahkan ‘tuhan’
mereka kepada kalimah suci umat Islam ini. Isu ini berlaku buat pertama kalinya
sekitar Disember 2009 sehingga April 2010 yang disebabkan oleh tindakan ketua
Paderi Katolik Murphy Pakiam yang telah menghantar satu permohonan kepada pihak
mahkamah untuk menggunakan kalimah Allah dalam majalah terjemahan Bahasa Melayu
khususnya dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly. Suatu ketika, “The
Herald” memenangi kes tersebut di Mahkamah Tinggi yang dihakimi oleh Datuk Lau
Bee Lan (hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), seorang
hakim yang bukan beragama Islam. Kemudiannya, kes ini telah dibawa ke Mahkamah
Rayuan disebabkan ketidakpuasan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah
membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah “The Herald”. Akhirnya, “The
Herald” kalah di Mahkamah Rayuan yang dihakimi oleh tiga orang hakim yang
semuanya beragama Islam diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali. Rasulullah
SAW bersabda:
Maksudnya: “Bersumber dari Abu Imran Al-Jauni, dia
berkata: “Abdullah bin Rabbah Al-Anshari berkirim surat kepadaku yang isinya
memberitahukan; bahwa Abdullah bin Amer pernah mengatakan: “Suatu pagi aku
bersama Rasulullah SAW tiba-tiba beliau mendengar suara dua orang berselisih
mengenai suatu ayat”. Rasulullah SAW keluar menemui kami dengan wajah kelihatan
murka. Beliau bersabda: “Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu menjadi binasa
adalah disebabkan mereka suka berselisih mengenai Al-Kitab”.
(Riwayat Muslim, Kitab Ilmu no. 47 [2])
Isu seperti ini tidak sepatutnya
timbul kerana setelah sekian lama mereka menggunakan perkataan ‘god’ dan
‘Jesus’, secara tiba-tiba mereka mahu menukar perkataan ‘god’ tersebut kepada
Allah untuk menggantikan terjemahan dalam bahasa Melayu. Pastinya, perkara ini
menjadi sesuatu yang menyentuh sensitiviti penganut Islam di dalam negara kita.
Hal ini telah menyebabkan berlakunya beberapa polemik dan perdebatan antara
tokoh agama dan mahkamah bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam
majalah Herald-The Catholic Weekly. Oleh sebab itu, banyak pandangan yang telah
diutarakan oleh tokoh agama dan juga fatwa yang berkaitan mengenai permasalahan
ini. Perkara ini menyatakankan bahawa setiap umat Islam wajib mempertahankan
perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Di samping itu, isu ini juga
boleh menimbulkan beberapa kesan yang negatif kepada umat Islam. Maka, terdapat
beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut yang
akan dibincangkan di dalam tulisan ini.
KESAN
DARIPADA ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH
Sekiranya Mahkamah Rayuan turut memberikan kemenangan dan kebenaran
kepada The Herald sebagaimana yang
telah dilakukan oleh Mahkamah Tinggi, bukan sahaja orang Kristian Katholik
boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam majalah mingguannya malah mana-mana
agama dan kepercayaan lain selain Islam juga boleh menerbitkan majalah
keagamaan mereka dan menterjemahkan Tuhan mereka sebagai Allah.
Membenarkan kalimah Allah untuk digunakan
oleh orang Kristian bukanlah suatu kesalahan di dalam Islam. Namun, di dalam
Islam kita perlu menjaga maqasid Syariah yang menuntut kita sebagai umatnya
untuk memelihara Islam dan menghalang sesuatu yang boleh merosakkan serta
merugikan Islam. Berbalik semula kepada senario dan keadaan masyarakat di dalam
negara kita, sewajarnya kita berusaha keras menutup sebarang perkara yang boleh
mengelirukan akidah serta kefahaman Islam dalam masyarakat di negara ini. Dalam
konteks Malaysia, isu ini dianggap sebagai suatu yang tidak relevan untuk
menggunakan kalimah Allah di dalam Bibble dan juga majalah mereka bahkan tiada
sebab-sebab yang kukuh untuk membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ ini. Malah,
penggunaan kalimah ini lebih banyak memberikan kesan negatif kepada negara ini.
Antara kesannya ialah:
Berlakunya Perpecahan dan Perbalahan
Isu kalimah Allah ini
adalah merupakan perkara yang sensitif bagi umat Islam dan perkara ini
sememangnya sudah diketahui oleh orang bukan Islam kerana sudah bertahun-tahun
lamanya kalimah Allah ini hanya digunakan oleh orang Islam. Jika kalimah Allah
ini digunakan di dalam penerbitan ilmiah ataupun bukan ilmiah, masyarakat
Malaysia akan beranggapan bahawa perkataan tersebut merujuk kepada tuhan orang
Islam. Apabila pihak Kristian turut mahu menggunakan kalimah Allah, sudah tentu
perkara ini akan mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan umat Islam
khususnya, dan mereka akan beranggapan ada maksud yang tersirat mengapa
kepimpinan Kristian Katholik berkeras mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ ini
dalam penerbitan sama ada Bible versi bahasa Melayu atau risalah The Herald.
Apabila senario ini terus-terusan berlaku dan dipolitikkan, ianya akan memberi
kesan yang tidak baik terhadap hubungan orang Islam dan Kristian. Perkara ini
akan membawa kepada perpecahan dan perbalahan dalam kalangan kaum di Malaysia
dan sekiranya ianya sudah mencapai tahap yang serius berkemungkinan akan
memberi kesan yang buruk terhadap keharmonian dan keselamatan negara Malaysia.
Isu ini juga bukan
hanya memberi kesan yang tidak baik kepada hubungan antara orang Kristian
dengan orang Islam, bahkan turut memberi kesan terhadap hubungan sesama orang
Islam. Hal ini adalah disebabkan kerana terdapat beberapa sebilangan pemimpin
politik Islam bersetuju dengan permohonan pihak Kristian untuk menggunakan
kalimah Allah dalam penerbitan majalah Kristian sehingga berani tampil untuk
menentang undang-undang. Hal ini sudah tentu akan menimbulkan perasaan tidak
puas hati dalam kalangan umat Islam dan akhirnya umat Islam akan bergaduh dan
berbalah sesama sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana perbalahan
tersebut hanya akan membawa imej yang tidak baik kepada Islam dan akhirnya
perkara yang menjadi fokus utama, iaitu isu penggunaan kalimah Allah oleh orang
Kristian bertukar kepada isu perpecahan umat Islam itu sendiri.
Timbulnya Kekeluruan Dalam Kalangan Umat Islam
Apabila semua agama
menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada tuhan mereka, kebarangkalian
akan berlakunya kekeliruan dalam kalangan setiap penganut lebih-lebih lagi buat
penganut yang beragama Islam. Bagi sebahagian Muslim di Indonesia mereka
menerima baik penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian kerana mereka
beranggapan bahawa ianya akan memberi kelebihan kepada mereka untuk berdebat
dengan orang Kristian. Namun apa yang menjadi persoalan adakah wujudnya
perdebatan yang rancak dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Tambahan pula
adakah rakyat Malaysia sebenar-benarnya diberikan kebebasan untuk mengadakan
perdebatan secara terbuka, lebih-lebih lagi sekiranya perdebatan tersebut dicurigai
untuk tujuan politik.
Penggunaan kalimah
‘Allah’ oleh orang bukan Islam juga akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan
anak-anak muda yang beragama Islam khususnya mereka yang bersekolah di sekolah
yang bukan beraliran agama dan bercampur agama. Sekiranya anak-anak muda yang
beragama Islam bergaul dengan orang bukan Islam untuk jangka masa yang lama
sudah pasti mereka akan tersilap menafsir perkataan ‘Allah’ yang digunakan oleh
rakan-rakan mereka yang bukan beragama Islam. Walaupun terdapat pendidikan
agama Islam, namun ia telah dipecahkan mengikut beberapa pecahan dan kesannya
golongan belia hanya mengetahui apa yang telah dipelajari di sekolah sahaja,
sedangkan pendidikan akidah tidak ditekankan. Perkara inilah yang boleh membawa
kekeliruan dalam kalangan mereka kerana tidak diberikan penekanan berkenaan
pendidikan akidah lebih-lebih lagi soal kewujudan Allah yang Esa.
Ramai Orang Islam Akan Bertukar Agama
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang
bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka.
katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”.
Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang
kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
Berdasarkan
ayat tersebut, jelaslah bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha selagi
mana kita tidak masuk ke dalam agama mereka. Terdapat sesetengah golongan
Kristian yang begitu ekstrem sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja agar
lebih ramai yang mengikut agama mereka. Tidak menjadi masalah sekiranya orang
bukan Islam menyebut kalimah ‘Allah’ atau kalimah Islam. Namun, yang menjadi
masalah ialah sekiranya mereka menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan tujuan untuk
menyebarkan dakwah melalui nama ‘Allah’ dengan mengelirukan umat Islam dan
mengajak orang Islam masuk ke dalam agama mereka. Perkara inilah yang cuba
dielakkan oleh orang Islam kerana kita tidak dapat memastikan kesahihan punca
mengapa mereka ingin menggunakan kalimah Allah sedangkan isu kalimah Allah
tidak pernah dipertikaikan sebelum ini oleh orang bukan Islam di Malaysia.
Islam adalah agama Persekutuan dan orang Islam
berhak untuk menentukan soal berkaitan agama, lebih-lebih lagi yang menyentuh
soal akidah mereka. Seperti kata Tun Mahathir yang dipetik daripada AIDC (1
Januari 2014), “Selama ini kita tidak pernah berbalah tentang kalimah ‘Allah’
kerana mereka (penganut Kristian di Semenanjung) tidak pernah menggunakan
kalimah ‘Allah’ itu. Jadi kenapa perlu menyakiti hati orang lain. Tidak
menggunakan kalimah ‘Allah’ tidak memudaratkan mereka”.
Menimbulkan Ketakutan Terhadap Umat Islam
Isu penggunaan kalimah
Allah yang berlaku di negara tercinta kita ini telah menimbulkan perasaan takut
di dalam hati setiap umat Islam. Mereka sanggup berjuang habis-habisan untuk
menentang penggunaan kalimah Allah ini daripada jatuh ke tangan orang Kristian.
Hal ini adalah disebabkan kerana generasi muda pada hari ini yang kebanyakannya
agak lemah dan cetek mengenai ilmu agama di dada. Mereka khuatir sekiranya
penggunaan kalimah Allah ini dibenarkan untuk digunakan di dalam kitab-kitab
orang Kristian, maka ia akan menyebabkan anak-anak muda keliru dan terpengaruh
dengan dakyah Kristian serta tidak dapat membezakan di antara perbezaan agama
Islam dengan Kristian.
Sepatutnya isu seperti
ini tidak perlu berlaku kerana secara normanya masyarakat kita dari dahulu lagi
menerima penggunaan God atau Jesus adalah merujuk kepada Tuhan penganut
Kristian, manakala penggunaan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan penganut
Islam. Sepatutnya, norma ini telah menjadi sesuatu yang tidak akan dipersoalkan
oleh mana-mana pihak kerana tidak wujud sebarang bentuk diskriminasi atau
jurang yang menghalang kedua-dua agama untuk mengamalkan kepercayaan
masing-masing. Penggunaan perkataan ‘God’ ini juga tidak pernah merugikan
penganut Kristian dan Islam. Ianya bebas digunakan oleh Kristian dalam
pengamalan agama mereka malah langsung tidak akan sesekali mengelirukan umat
Islam dalam negara ini. Jadi, umat Islam tidak seharusnya takut sekiranya
Kristian menggunakan kalimah Allah kerana perkataan suci ini hanyalah milik
mutlak agama Islam sahaja.
Dianggap Mencabar Agama Islam Sebagai Agama
Rasmi Persekutuan
Mengikut perundangan Malaysia, perlu difahami bahawa hanya Islam sahaja
satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama
lain yang disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan
hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam
negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain
oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu
berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
Agama-agama lain masih
boleh diamalkan di dalam negara kita seperti mana yang diperuntukkan di dalam
Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan. Namun pada masa yang sama,
Perlembagaan tidak membenarkan mana-mana agama yang bukan Islam untuk
menyebarkan fahaman agama mereka kepada penganut Islam sama ada secara langsung
atau tidak langsung. Hal ini bermaksud, di dalam kebebasan mengamalkan ajaran
dan agama mereka seperti agama Kristian, Hindu atau Buddha mereka dilarang sama
sekali menyebarkan dakyah kepada umat Islam.
Jika kalimah Allah
bebas digunakan dalam penerbitan umum termasuk di dalam Bibble versi bahasa
Melayu dan majalah mereka seperti The
Herald, ia akan memberikan kesan yang ketara terhadap orang Islam walaupun
diedarkan dalam kalangan orang bukan Islam kerana tiada jaminan yang mengatakan
ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam. Penerbitan tersebut tidak hanya
diedarkan di gereja sahaja. Sekaligus akan memberikan kemungkinan tinggi untuk
menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan. Secara tidak langsung,
isu ini turut mencabar institusi beraja kerana Yang diPertuan Agong (YDPA) dan
Raja-raja Melayu merupakan Ketua Agama Islam di Malaysia. Lalu, apakah fungsi
YDPA dan Raja-raja Melayu sekiranya orang Kristian menang dalam kes ini?
Tidakkah tindakan mereka ini seperti merendah-rendahkan kedudukan YDPA dan
Raja-raja Melayu yang terdapat dalam Perlembagaan? Jadi, seharusnya kita sebagai
orang Islam menentang orang Kristian daripada menggunakan kalimah suci Allah
ini dalam apa jua penerbitan mereka.
PERANAN
UMAT ISLAM DALAM MENCEGAH ISU KALIMAH ALLAH
Memperkukuh Kedudukan Islam Sebagai Agama
Persekutuan
Kedudukan Islam sebagai
agama Persekutuan merupakan satu daripada elemen asas dan penting Perlembagaan
negara. Walau bagaimanapun, umat Islam khususnya pihak berkuasa tidak
seharusnya merasa selesa dengan jaminan yang ada, kerana terdapat pihak yang
cuba memisahkan Perlembagaan dari pengaruh agama yang melihatnya dari sudut
fahaman sekular, dengan maksud dasar negara tidak seharusnya terikat dengan
agama Islam. Sebagai contoh, tuntutan hak LGBT yang, menurut mereka yang
menyokong, perlu dilihat dari sudut hak asasi manusia semata-mata, dan bukan
dari segi pandangan agama. Tuntutan penggunaan kalimah Allah juga dihujah oleh
pihak-pihak tertentu atas alasan hak asasi manusia. Hak manusia (human rights)
pada masa ini nampaknya seolah-olah menjadi ‘agama’ baru yang mengatasi
agama-agama sedia ada termasuk agama Islam yang maha suci. Pendekatan ini
adalah tidak tepat, kerana hak manusia menurut Islam dijamin dalam batas-batas
agama.
Peruntukan Islam
sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan merupakan
nadi, benteng dan penggerak kepada kedudukan Islam di Malaysia. Keistimewaan
yang diberikan kepada agama Islam tidak boleh disangkal oleh sesiapa
berdasarkan beberapa peruntukan khusus yang terdapat dalam Perlembagaan itu
sendiri, kedudukan Islam dalam sejarah negara dan ciri-ciri unik yang wujud
dalam perlembagaan negeri-negeri di Malaysia. Fakta ini menunjukkan terdapat
hubungan yang erat di antara Islam dan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudianya
Malaysia. Oleh yang demikian, Malaysia bukan sebuah negara sekular seperti yang
difahami dan ditafsirkan oleh sesetengah pihak, lebih-lebih lagi dalam
Perlembagaan itu tidak terdapat perkataan sekular. Ini kerana negara dan
pemerintah terlibat secara langsung dalam melaksanakan tuntutan agama Islam dan
adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melindunginya.
Memandangkan
akhir-akhir ini kerap kali berlaku perbuatan menghina agama Islam, dan juga
terdapat fahaman dan amalan yang terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal
Jamaah serta usaha penyebarannya, maka di bawah strategi ini, dua langkah boleh
dipertimbangakan sebagai tindakan seterusnya, iaitu:
a)
Cadangan pindaan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan
memasukkan “Islam berasaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Perkara ini pernah
disuarakan, dan ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Dalam Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam, agama Islam sebagai agama negara dijelaskan dalam
“pentafsiran” sebagai “ugama Islam menurut Ahlis Sunnah Waljamaah mengikut
Mazhab Shafi’ee”.
b)
Cadangan mewujudkan undang-undang Persekutuan baru yang spesifik,
khusus bagi melindungi agama dan kedudukannya di bawah Perlembagaan
Persekutuan, dengan mewujudkan beberapa kesalahan yang membabitkan kesalahan
menghina agama dan institusi agama yang mana ia boleh dibicarakan di mahkamah
sivil. Dengan ini, semua mereka yang melanggar undang-undang ini, sama ada
orang Islam dan bukan Islam, mereka boleh diambil tindakan sewajarnya
Mempertingkat Usaha Penyeragaman dan
Penyelarasan Undang-undang Syariah dan Fatwa
Dari masa kesemasa,
isu ketidak seragaman undang-undang Islam dan fatwa ditimbulkan. Mekanisme
penyelarasan dan penyeragaman bagi undang-undang yang berbeza di antara negeri-negeri
telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 76(1)(b)
yang mana Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang untuk negeri-negeri
bagi maksud mengadakan persamaan undang-undang antara dua buah Negeri atau
lebih; atau (c) jika diminta sedemikian oleh mana-mana Dewan Negeri. Majlis
Raja-Raja juga boleh, menurut Perkara 38(6)(c) Perlembagaan Persekutuan,
mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau
upacara agama meliputi seluruh Persekutuan. Kaedah inilah yang diguna pakai
dalam usaha menyelaras dan menyeragamkan perundangan Islam dan pengeluaran
fatwa di Malaysia.
Berdasarkan kedua-dua peruntukan
Perlembagaan di atas jelas bahawa Parlimen dan Majlis Raja-Raja diberi kuasa
dalam soal penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah dan fatwa. Walau
bagaimanapun, Negeri diberi kuasa pemutus dalam soal perundangan Islam dan
fatwa yang hendak diterima dan dilaksanakan, kecuali apa yang dipersetujui oleh
Majlis Raja-Raja. Inisiatif penyelarasan bermula dan dilaksanakan diperingkat
pusat, menerusi diperingkat tertinggi, MKI dan beberapa jawatankuasa yang telah
ditubuhkan yang mana urusetiannya adalah JAKIM. Oleh yang demikian, JAKIM
mempunyai tanggungjawab yang berat dan semakin mencabar. Ia merupakan agensi
penyelaras antara negeri-negeri.
Langkah-langkah
dan usaha ke arah penyelarasan dan penyeragaman telah diambil dan dilaksanakan,
dan banyak kejayaan telah dicapai. Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang tertentu
yang masih boleh dilihat semula dan memikirkan mekanisme baru bagi mewujudkan
consensus atau mengurangkan jurang perbezaan antara negeri-negeri.
Langkah-langkah yang dicadangkan adalah seperti berikut:
a)
Mengukuhkan lagi jalinan kerjasama agensi Pusat dan Negeri atau
pihak berkenaan menerusi perbincangan dan mendapatkan maklum balas
yang mencukupi mengenai model atau pindaan undang-undang yang hendak
dicadangkan.
b)
Jawatankuasa-jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan di bawah JAKIM
bagi tujuan penyelarasan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasakan
bagi mengenalpasti isu-isu berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah dengan
melibatkan pakar-pakar dan pengamal undang-undang berkenaan. Jawatankuasa
Teknikal Undang-Undang Syariah dan Sivil perlu dinaik taraf menjadi Suruhanjaya
Pembaharuan dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah yang bertanggungjawab kepada
Majlis Raja-Raja.
c)
Adalah menjadi amalan bahawa fatwa mengenai isu nasional telah
dibincangkan terlebih dahulu diperingkat Jawatankuasa Fatwa/Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, sebelum ia dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Ini bertujuan bagi mewujudkan peneyelarasan dan penyeragaman. Walau
bagaimanapun, kadang-kadang terdapat keadaan dimana apabila keputusan
diperingkat kebangsaan dibawa dalam Jawatankusa Fatwa Negeri, perubahan dibuat
kepada sighah asal yang diputuskan, atau keputusan sebaliknya atau berbeza
dikeluarkan, mungkin atas sebab-sebab tertentu. Perbezaan juga kadang-kadang
berlaku dari segi pewartaan dan penguatkuasaan fatwa. Bagi menghilang risiko
perbezaan pandangan atau merapatkan jurang perbezaan antara ‘fatwa’ kebangsaan
dan fatwa negeri, adalah dicadangkan agar proses dan carta alir perbincangan
dibuat sedikit pengubahsuaian dengan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat
perbincangan awal sesuatu isu yang dikenalpasti terlebih dahulu, kemudian
mengemukakan pandangan beserta alasan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
untuk diputuskan. Bagi tujuan pewartaan dan penguatkuasaan fatwa, keputusan
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu dibincang sekali lagi dan diputuskan secara
muktamad oleh setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Mengenalpasti Isu Konflik Undang-Undang
dan Mengkaji Kaedah Penyelesaian
Perkara 121(1A)
Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1988 bertujuan menghalang
mahkamah sivil daripada campur tangan dalam bidang kuasa eksklusif mahkamah
syariah dan mengelak berlakunya konflik undang-undang. Matlamat ini, walau
bagaimanapun, belum tercapai sepenuhnya. Tetapi peruntukan Perlembagaan ini
telah mengangkat kedudukan mahkamah syariah dan mengiktiraf kewujudan dwi
-sistem perundangan utama di Malaysia yang berjalan seiringan. Menurut Allahyarham
Tan Sri Ahmad Ibrahim dalam artikel awal yang menganalisa kesan pindaan
peruntukan di atas, dalam perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa
mahkamah syariah, masih terdapat undang-undang sivil Persekutuan yang masih
terpakai kepada orang-orang Islam. Dalam bidang kewangan islam, menurut bekas
Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, negara hanya memberi fokus kepada
usaha melahirkan produk patuh syariah, tetapi tumpuan tidak diberikan kepada
undang-undang serasi syariah dalam melaksanakan produk berkenaan dan untuk
menyelesaikan pertikaian yang timbul daripadanya(Utusan Malaysia, 20 Februari
2014).
Bagi mempastikan
bidang kuasa mahkamah syariah tidak diganggu, undang-undang Negeri (dan
undang-undang Persekutuan bagi orang Islam Wilayah Persekutuan) yang memberi
kuasa kepada mahkamah syariah perlulah spesifik dan jelas serta mencakupi skop
yang diperlukan. Disamping undang-undang sedia ada, mungkin terdapat
aspek-aspek lain dalam syariah dan pentadbiran hukum Islam yang perlu dikanunkan.
Pihak berkuasa agama dan perundangan, khususnya JAKIM perlu mengambil peluang
daripada peruntukan Perkara 121(1A) dengan mempergandakan usaha untuk
memperkemas dan memantapkan lagi pentadbiran undang-undang Islam. Selain itu,
terdapat juga undang-undang Persekutuan lain yang menyentuh kepentingan agama
Islam dan masyarakat Islam yang juga perlu diberi perhatian, contohnya,
undang-undang berkaitan produk halal dan pendidikan Islam. Untuk ini, perlu ada
pemantau dan penyelidik bagi tujuan mengemukakan pandangan atau sumbangan serta
cadangan jika diperlukan.
Meneruskan Usaha Menaiktaraf Mahkamah Syariah
Taraf
mahkamah dan hakim-hakimnya adalah antara faktor penting untuk mendapat imej,
penghormatan dan persepsi yang baik dari kalangan masyarakat. Usaha ke arah
meningkatkan status mahkamah syariah di Malaysia bukanlah suatu perkara yang
baru. Perkara ini kerap kali diutarakan dan dicadangkan oleh Allahyarham Tan
Sri Prof. Emiratus Ahmad Ibrahim dalam siri kertas kerja dan penulisan beliau.
Sebelum ini, Peguam Negara telah mengemukakan beberapa cadangan pengstrukturan
semula mahkamah syariah , termasuk mewujudkan Mahkamah Rayuan Syariah
Persekutuan. Langkah ini adalah amat penting, dan ia merupakan salah satu
saluran bagi merealisasikan hasrat mewujudkan penyelarasan dan penyeragaman
pentadbiran undang-undang syariah di seluruh negara. Setakat ini, tidak
diketahui perkembangan cadangan ini. Sungguhpun sudah ada cadangan sebelum ini,
terdapat alternatif lain yang boleh dipertimbangkan, iaitu mewujudkan Mahkamah
Agung Syariah (Syariah Supreme Court) yang bertindak sebagai mahkamah tertinggi
syariah yang akan diberi bidang kuasa untuk mendengar kes-kes rayuan daripada
Mahkamah Rayuan Syariah setiap Negeri dan bidang kuasa mentafsir undang-undang
syariah.
Mahkamah ini
dicadangkan dan ditubuh oleh Majlis Raja-Raja yang juga bertanggungjawab
melantik hakim-hakim mahkamah ini. Perinciannya boleh diperhalusi semula dengan
mengambil kira Perlembagaan Persekutuan. Walaupun apa juga bentuk
pengstrukturan semula, usaha ini perlu digerakkan semula dan diteruskan secara
istiqamah dan mencari strategi yang lebih berkesan untuk merialisasikannya.
Selain itu, usaha lain yang berkaitan dengan memperkasa penguatkuasaan
undang-undang syariah, seperti penubuhan Badan Kebangsaan Peguam Syar’i yang
dinyatakan kesediaan pihak berkuasa pada tahun 2004 untuk menubuhkannya perlu
dihidupkan semula.
Memperkasa Penyelidikan dan Pembangunan Dalam
Undang-Undang Syariah
Usaha menambah baik
pentadbiran undang-undang syariah, termasuk cadangan yang dikemukakan di atas
memerlukan penyelidikan yang teliti dan mendalam, agar hasilnya tepat dan boleh
dilaksanakan. Penyelidikan memerlukan para penyelidik yang berkebolehan dan
berwibawa. Penekanan boleh diberikan kepada kajian perkara-perkara seperti
berikut:
a)
Kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam enakmen-enakmen
berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam dan cadangan pindaan yang
perlu dibuat.
b)
Model baru beberapa aspek undang-undang Islam yang boleh
dicadangkan kepada negeri-negeri.
c) Isu-isu yang masih menimbulkan
konflik undang-undang.
d) Undang-undang sivil yang masih terpakai kepada undang-undang
syariah.
e) Undang-undang sivil
berkaitan dengan produk halal dan pendidikan Islam
f) Semakan dan penambahbaikan dari segi
syariah terhadap produk kewangan Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah
dan keluarga Islam.
g) Harmonisasi undang-undang sivil dan syariah.
h) Kajian dan semakan terhadap langkah
menaiktaraf mahkamh syariah.
i) Isu-isu pelaksanaan hudud.
j) Penggubalan standard dan garis panduan
berkaitan pentadbiran keadilan Islam dan pengeluaran fatwa untuk mencapai
hasrat ini, Bahagian Penyelidikan Islam perlu diperkasakan.
Penekanan khusus
perlu diberikan kepada penyelidikan undang-undang syariah dalam bentuk
mempunyai unit yang tersendiri, yang akan menyediakan input kepada Jawatankuasa
Penyelarasan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah dan juga Jawatankuasa
Teknikal Undang-undang Syariah dan Sivil (yang dicadangkan sebelum ini agar
dinaik taraf). Penyelidikan boleh dijalankan sendiri oleh penyelidik dalaman
atau dengan kerjasama dengan penyelidik luar, atau dengan menyediakan gran
penyelidikan kepada penyelidik luar. Siri seminar dan wacana juga boleh diadakan
bagi membincangkan isu-isu yang menyentuh pentadbiran undang-undang Islam di
Malaysia dan mendapat pandangan dan cadangan daripada pakar-pakar dan pengamal
undang-undang dan syariah.
Mempertingkatkan Tahap Profesionalisme
Hakim, Peguam Syar’i dan Pegawai Syariah
Usaha meningkatkan
keupayaan dan profesionalisme mereka yang terlibat secara langsung dalam
pentadbiran keadilan adalah amat penting bagi memastikan keadilan dapat
diberikan kepada semua pihak. Kursus dan latihan yang diberikan kepada mereka
perlu diteruskan dan sentiasa dipertingkatkan mutunya, seperti menyediakan
perkhidmatan terbaik, bersikap adil dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Peguam syar’i perlu mempunyai pengEtahuan dan kemahiran untuk membantu hakim
dalam mencapai keadilan. Hakim syar’i pula sepatutnya menyediakan alasan
bertulis bagi keputusan penghakiman yang telah disampaikan. Ini penting agar ia
dilihat telus dan adil. Laporan bertulis penghakiman juga penting bagi tujuan
rujukan kemudian, termasuk kepada pelajar-pelajar syariah dan undang-undang.
Bagi tujuan mempastikan tahap profesionalisme di atas dihayati , sentiasa
dipelihara dan dipertingkatkan, sebuah Institut Latihan Kehakiman Syar’i
dicadang agar ditubuhkan dalam jangka masa lima tahun di atas, seperti penubuhan
ILKAP bagi kehakiman sivil. Penutup Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia
sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat. Oleh yang demikian, strategi dan
langkah yang lebih berkesan perlu dikenalpasti, dikaji dan dimantapkan dari
masa kesemasa bagi mencapai matlamat memartabatkan undang-undang syariah di
Malaysia . Peluang yang ada bagi tujuan ini makin mencabar dan memerlukan
komitmen dan kebijaksanaan yang tinggi, terutama dalam masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum dan agama. Usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan sementara
masyarakat Islam dan pemerintah masih mempunyai kuasa untuk melakukannya. Dalam
masyarakat Malaysia yang majmuk, Islam ,umat Islam, institusi Islam dan
perundangan syariah perlu dilihat sebagai yang terbaik dan ini menuntut
dedikasi semua pihak untuk menjadikannya sebagai satu kenyataan. Apa yang
digariskan sebahagiannya adalah bersifat umum dan masih perlu diperincikan
dalam bentuk tindakan yang lebih spesifik.
PANDANGAN ULAMA’
TENTANG ISU KALIMAH ALLAH
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik
Mat
Setiap apa yang berlaku berhubung
dengan isu-isu yang berbangkit serta berkait rapat dengan hal agama perlulah
dirujuk kepada para ulama’ terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana mereka
lebih alim berkenaan dengan sesuatu hukum bagi mengatasi isu dengan cara yang
betul.
Menurut seorang ulama’ tersohor,
Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat, beliau berkata bahawa pengunaan kalimah Allah oleh agama lain pada masa
kini tidak boleh dibenarkan sama sekali. Hal ini demikian kerana, apabila
kalimah Allah digunakan oleh agama lain maka ia boleh menimbulkan kekeliruan
dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Walaubagaimanapun, dari segi hukum,
Islam membenarkan pengamal agama samawi iaitu agama langit seperti Nasrani,
Yahudi dan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dan terdapat dalil-dalil
yang membenarkan penggunaan kalimah Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya jika
engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada (yang musyrik) itu; “siapakah yang
menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di
bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjwab: “Allah”. Ucapkanlah
(Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebaga bersyukur disebabkan pengakuan mereka
yang demikian),bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami
tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
Namun, dalam konteks masyarakat umat
Islam di semenanjung ini yang sebahagiannya tidak mempunyai kekuatan akidah
yang tinggi dibimbangi kalimah Allah disalah guna oleh pihak-pihak tertentu untuk
merosakkan akidah golongan yang menganut ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu,
pendekatan yang terbaik adalah dengan memberhentikan penggunaaan kalimah Allah
ini kepada golongan bukan Islam bagi menjaga kemaslahatan dan akidah umat Islam
sejagat.
Selain itu, beliau mengulas lanjut berkenaan
dengan isu ini dan mencadangkan agar
diadakan satu rundingan khas di antara Islam Dan Kristian untuk menyelesaikan permasalahan
ini dengan cara yang baik sama ada secara terbuka ataupun tertutup secepat mungkin
bagi mengelakkan kekeliruan terhadap umat Islam itu sendiri.
Dr. Haron Din
Pendapat
Ulama’ yang seterusnya pula adalah daripada Datuk Dr Haron Din. Beliau
menegaskan berkenaan dengan isu ini
bahawa mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah
Allah di dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.
Tokoh ulama’ itu menjelaskan bahawa
melalui kaedah yang di pakai dalam ilmu akidah, tindakan bersetuju dengan
penggunaan nama Allah oleh agama Kristian itu membawa maksud menyekutukan Allah
kerana agama itu mempercayai tuhan sebagai Triniti iaitu terdiri daripada Tuhan
Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus sedangkan di dalam agama Islam Allah adalah Esa
(satu). Sekiranya umat Islam menyekutukan Allah dengan Triniti maka berlakulah
syirik yang membawa kepada kufur dan sekiranya umat Isam meredhai kepada kekufuran
bermakna mereka juga jatuh kufur.
Muzakarah Majlis
Kebangsaan Malaysia
Berdasarkan perbincangan yang telah
dibuat terhadap tutntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah
telah memutuskan bahwa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi
agama dan umat Islam dan ianya tidak boleh digunakan atau disamakan dengan
agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh
itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya
terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut,
maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara hujah yang telah dikemukakan hasil
daripada Muzakarah tersebut ialah perkataan Allah yang digunakan oleh umat
Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah
digunakn oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepadaa “Tuhan Bapa” iaitu
salah satu oknum daripada akidah trinity. Selain itu, lafaz Allah juga tidak
pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahan asal usul
penulisan Bible. Perkataan Tuhan dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ dan bukan
perkataan Allah.
Selain itu, perintah mahkamah yang dipohon
oleh Catholoc Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan
kaimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Neger adalah
bercanggah dengan Perlembaggaan Persekutuan dan bukan ekslusif kepada agama
Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya
orang Islam sendiri tidak dan perhatian yang sewajarnya idak diberikan oleh
pihak berkuasa agama di negara ini.
Walaupun Dari segi sejarah, kalimah
Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun pengunaannya
adalah berbeza. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat
Talsis dan Syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid. Kalimah Allah
sebenarnya tidak ada di dalam Bible dan perkataan yang digunakan adalah God.
Tetapi di dalam Bible pekataan tersebut diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan
perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga
kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga
membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama
lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah
Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama
adalah sama.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, Islam merupakan agama
Persekutuan yang menjadi tonggak di dalam Perlembagaan Negara. Sensitiviti
agama perlu dijauhkan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan perpecahan
dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama yang berbeza. Apa yang
lebih utama ialah sebilangan umat Islam di sini masih tidak mempunyai pegangan
akidah yang kukuh yang boleh menjejaskan mereka dalam membanteras isu sensitif yang
melibatkan agama mereka itu sendiri. Kerajaan perlu memainkan peranan yang
besar agar isu ini tidak menimbulan kecelaruan pemikiran majoriti umat Islam
selain mencegah berlakunya penyelewengan agama yang mungkin akan timbul. Sebagai umat Islam,
kita hendaklah sentiasa mengetahui akan isu-isu semasa yang berlaku di
sekeliling supaya tidak ketinggalan dan mengetahui cara hendak menyelesaikan
sesuatu permasalahan. Selain itu juga, sebagai umat Islam hendaklah sentiasa
mempunyai perasaan untuk mempertahankan agama Islam sekiranya berlaku kecaman
daripada pihak yang bertentangan. Umat Islam, secara umumnya terdiri daripada
pelbagai bangsa dan mempunyai kepelbagian lafaz dan bahasa, namun begitu
kalimah Allah tidak boleh ditukar dan diterjemahkan mengikut lafaz dan gaya
bahasa masing-masing. Hal ini adalah disebabkan kerana kalimah Allah merupakan
kalimah asal lagi suci yang tidak boleh diubah-ubah mengikut kesesuaian bangsa
dan juga telah ditetapkan daripada asal penurunannya.
dipersilakan untuk sesiapa share..
BalasPadam