Jumaat, 29 April 2016

Sosiologi Persanakan



SOSIOLOGI PERSANAKAN

            Persanakan adalah berasaskan peraturan yang tertentu mengenai hubungan fizikal antara lelaki dan perempuan untuk melahirkan anak. Kemudiannya, anak tersebut dilahirkan dan disosiolisasikan secara progresif dalam komunitinya supaya anak itu mendapat status dan memainkan peranan kepada generasi yang lebih berusia daripadanya suatu hari nanti. Persanakan mementingkan kesinambungan dan penerus kepada kumpulan sosial bagi memastikan kedua-dua mereka yang berumur dan kemudiannya meninggal akan digantikan oleh generasi muda sebagai pewaris  untuk meneruskan  sistem budaya dan sistem sosial mereka sejak turun-temurun.
             Di sini, saya mengambil dua orang tokoh yang telah mendefinisikan secara khusus berkenaan dengan sosiologi persanakan. Tokoh pertama yang mendefinisikan persanakan ialah Alex Inkeles yang menyatakan bahawasanya , “ institusi persanakan pada asasnya memfokuskan sekitar masalah mengatur jantina dan menyediakan suatu kerangka yang selamat dan stabil untuk menjaga dan memelihara golongan muda “ (1964 :68). Seterusnya, W. H. R. Rivers iaitu seorang ahli antropologi yang terkenal mendefinisikan persanakan sebagai pengiktirafan sosial daripada hubungan yang bersifat biologi. Sebagai rumusan daripada definisi yang telah dinyatakan oleh kedua-dua tokoh ini dapat kita perhatikan bahawasanya terdapat hubungan yang cukup rapat antara persanakan melalui dimensi biologi dengan persanakan dari dimensi sosial dan juga budaya.
            Persanakan ini sebenarnya adalah hubungan biologi yang dimiliki oleh manusia melalui kelahiran generasi-generasi dalam pelbagai bentuk dan jenis kebudayaan dan kehidupan sosial yang berbeza. Mereka akan memainkan peranan dalam meneruskan warisan kebudayaan ini untuk diperturunkan kepada generasi yang seterusnya. Sistem persanakan ini mementingkan cara untuk mengatur hak dan kewajipan antara individu dalam masyarakat dengan memainkan peranan mereka dalam komuniti, memberi hak kepada pemilikan harta, serta penglibatan mereka dalam aktiviti ekonomi dan juga ritual.
            Sebagai seoarang ahli sains sosial, kita berminat dengan hubungan sosial yang masuk ke dalam pengaruh kebudaayaan dan sosial manusia dengan melihat tujuan reproduksi fizikal yang biasanya dinamakan sebagai perkahwinan dan pertalian alinal (hubungan melalui perkahwinan). Manusia yang lahir melalui ‘perkongsian darah’ atau reproduksi yang dipanggil consanguine (pertalian melalui kelahiran). Hubungan ini jugalah yang membentuk kumpulan sosial yang biasanya dipanggil keluarga atau keturunan, suku-sakat, sanak-saudara atau kaum kerabat. Namun begitu, masing-masing mempunyai kebudayaaan dan aspek-aspek yang berbeza dan juga cara berfikir yang berbeza yang mana perbezaan inilah yang menyebabkan berlakunya variasi manusia yang pelbagai.
             Ahli antropologi dan sosiologi mengatakan bahawasanya kajian berkenaan dengan persanakan masyarakat manusia cukup penting terutamanya bagi melihat kategori masyarat yang pelbagai dimensi dalam konteks yang berbeza. Di sini saya ingin nyatakan berkenaan dengan dua kelompok manusia yang kebiasaannya wujud secara normal dalam komuniti mereka iaitu masyarakat yang berskala kecil dan masyarakat yang berskala besar.
            Masyarakat yang berada dalam komposisi komuniti yang berskala kecil biasanya tinggal di kawasan desa yang mana mereka adalah masyarakat yang berasaskan pertanian. Mereka menjadikan persanakan sebagai cara utama untuk mengorganisasikan kehidupan komuniti sekaligus merapatkan hubungan antara satu sama lain. Asas pembentukan masyarakat terjadi apabila terjadinya hubungan yang rapat antara ibu bapa dengan anak-anak, hubungan sesama  adik-beradik yang baik, hubungan antara datuk dan nenek bersama ahli keluargalain yang sangat mesra, hubungan antara anak-anak yang melibatkan hubungan sesama sepupu-sepapa mereka dan sebagainya. Persanakan adalah suatu jalan yang memberikan mereka nama dan kedudukan sosial seperti wujudnya bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan, abang, kakak. Mereka ini memainkan peranan masing-masing berdasarkan status mereka dengan menjalankan tanggungjawab, hak dan kewajipan serta dengan serta-merta menyusun mereka ke dalam unit sosial atau kumpulan tertentu.
               Seterusnya, kita dapat melihat masyarakat yang berskala besar berada dalam arus permodenan dan modenisasi ini kurang mementingkan aspek persanakan. Robin Fox menjelaskan bahawasanya, “ dalam masyarakat di mana persanakan itu penting, kesetiaan kepada keluarga melebihi kesetiaan yang lain, dan untuk alasan ini sahaja ia mesti menjadi musuh kepada birokrasi” (1967 : 14). Namun, keberadaan masyarakat dalam arus industrialisasi ini tidak dapat disamakan dengan apa yang dibincangkan oleh Fox. Hal ini demikian kerana, masyarakat tersebut mementingkan bentuk organisasi lain seperti birokrasi, negara-negara dan kelas sosial, persanakan menjadi kurang signifikan. Proses perbandaran sebenarnya cenderung untuk melemahkan peranan organisasi tradisional yang diamalkan persanakan. Dalam masyarakat yang dikatakan semakin moden atau membangun itu masih ada hubungan yang berasaskan persanakan. Kebiasaanya merangkumi hubungan yang minimum antara ibu, bapa dan anak-anak.
              Terdapat beberapa darjah variasi yang penting dalam menentukan persanakan yang berbeza antara masyarakat tetapi terdapat juga perbezaan dalam bentuk-bentuk sistem persanakan. Ahli sains sosial telah berhujah mengenai perbezaan itu dan cara untuk mengklaskan masyarakat adalah berdasarkan perbezaan itu dengan membahagikan pengklasifikasian ini kepada dua bahagian iaitu membahagikan masyarakat yang bersifat teratur melalui keturunan senasab dan mereka yang teratur dalam asas kognat dwisisi. Namun begitu, di Barat persanakan tidaklah begitu penting berbanding dengan prinsip organisasi lain. Dalam mengklaskan masyarakat persanakan ini kita masih mengkategorikan masyarakat Barat sebagai kognat/bilateral kerana Barat tidak menggunakan dan memasukkan keturunan senasab dalam pelbagai tujuan organisasinya.
           Seterusnya, bagi menyelidiki keturunan senasab kita boleh melihat masyarakat tersebut diorganisasikan atas asas keturunan melalui garis nenek moyangnya. Terdapat dua pendekatan asas yang digunakan dalam organisasi senasab. Pendekatan yang pertama ialah kumpulan keturunan yang dibentuk melalui asas garis keturunan lelaki. Di dalam sistem ini, seorang perempuan yang telah berkahwin kebiasaanya akan berpindah untuk tinggal bersama-sama keluarga si lelaki dan berada dalam kelompok komuniti lelaki tersebut. Keanggotaan kumpulan, status, identiti dan pemilikan harta itu berdasarkan pengiktirafan keturunan garis nasab lelaki. Sistem ini sangat terkenal dalam masyarakat cina yang membawa masuk organisasi asalnya dari tanah air mereka di selatan  China ke Malaysia.
             Tambahan lagi, pendekatan asas yang kedua pula ialah dengan cara mengorganisasikan  masyarakat dengan cara mengiktiraf keturunan menurut garis perempuan  melalui ibu kepada anak perempuannya dan seterusnya. Masyarakat ini disebut sebagai nasab-ibu (matrilineal). Dalam sistem ini kaum lelaki tidak boleh memindahkan warisan atau harta kepada anak lelakinya. Kebiasannya lelaki yang berkahwin akan menetap di kediaman nasab sebelah sebelah isteri dan mentuanya yang di dipanggil petempatan matrilokal. Contoh yang paling terkenal adalah di Indonesia, mungkin juga di seluruh Asia Tenggara ialah masyarakat Minangkabau di Sumatera yang mengamalkan sistem nasab ibu. Di Malaysia, masyarakat Melayu di Negeri Sembilan mengamalkan adat pepatih yang mempunyai persamaan dengan Minangkabau iaitu mengikut nasab keturunan sebelah perempuan.

                          

2 ulasan:

  1. Letak rujukan. Nnti kena plagiat sbb sya ada baca artikel tu (^_^"). Hmpir sebjik la juga tpi diulas semula.

    BalasPadam
  2. How to Make Money from Betting on Sports Betting - Work
    (don't worry deccasino if you get it wrong, filmfileeurope.com though) ventureberg.com/ The process involves placing bets on different events, หาเงินออนไลน์ but it can also be done by communitykhabar using the

    BalasPadam